Kesatlah airmatamu wahai wanita...

Assalamualaikum..

Alhamdulillah..
Masih diberi peluang untuk berkongsi sesuatu pada post kali ini.

Post kali ini saya nak berkongsi satu cerita.
Silakan hayati dan tafsirkan sendiri..


"Insan berkasih kerana Allah
Bertemu, berpisah kerana cintaNya"


"Apabila hati terikat dengan Allah, kembalilah wanita dengan asal
fitrah kejadiannya, menyejukkan hati dan menjadi perhiasan kepada
dunia - si gadis dengan sifat sopan dan malu, anak yang taat kepada
ibu bapa, isteri yang menyerahkan kasih sayang, kesetiaan dan
ketaatan hanya pada suami."

Bait-bait kata itu aku tatapi dalam-dalam. Penuh penghayatan.
Kata-kata yang dinukilkan dalam sebuah majalah yang ku baca. Alangkah
indahnya jika aku bisa menjadi perhiasan dunia seperti yang dikatakan
itu. Ku bulatkan tekad di hatiku. Aku ingin menjadi seorang gadis
yang sopan, anak yang taat kepada ibu bapaku dan aku jua ingin
menjadi seorang isteri yang menyerahkan kasih sayang, kesetiaan dan
ketaatan hanya untuk suami, kerana Allah.

Menjadi seorang isteri....kepada insan yang disayangi.....idaman
setiap wanita. Alhamdulillah, kesyukuran aku panjatkan ke hadrat
Ilahi atas nikmat yang dikurniakan kepadaku. Baru petang tadi, aku
sah menjadi seorang isteri setelah mengikat tali pertunangan 6 bulan
yang lalu. Suamiku, Muhammad Harris, alhamdulillah menepati ciri-ciri
seorang muslim yang baik. Aku berazam untuk menjadi isteri yang
sebaik mungkin kepadanya.

"Assalamualaikum," satu suara menyapa pendengaranku membuatkan aku gugup
seketika. "Waalaikumusalam," jawabku sepatah. Serentak dengan itu, ku
lontarkan satu senyuman paling ikhlas dan paling manis untuk suamiku.
Dengan perlahan dia melangkah menghampiriku.

"Ain buat apa dalam bilik ni ? Puas abang cari Ain dekat luar
tadi. Rupanya kat sini buah hati abang ni bersembunyi. `' Aku
tersenyum mendengar bicaranya. Terasa panas pipiku ini. Inilah kali
pertama aku mendengar ucapan `abang' dari bibirnya. Dan itulah juga
pertama kali dia membahasakan diriku ini sebagai `buah hati' nya. Aku
sungguh senang mendengar ucapan itu. Perlahan-lahan ku dongakkan
wajahku dan aku memberanikan diri menatap pandangan matanya. Betapa
murninya sinaran cinta yang terpancar dari matanya, betapa indahnya
senyumannya, dan betapa bermaknanya renungannya itu. Aku tenggelam
dalam renungannya, seolah-olah hanya kami berdua di dunia ini.
Seketika aku tersedar kembali ke alam nyata.

"Ain baru je masuk. Nak mandi. Lagipun dah masuk Maghrib
kan ? `' ujarku.
`' Ha'ah dah maghrib. Ain mandi dulu. Nanti abang mandi dan kita
solat Maghrib sama-sama ye ? `'Dia tersenyum lagi. Senyum yang
menggugah hati kewanitaanku. Alangkah beruntungnya aku memilikimu,
suamiku.

Selesai solat Maghrib dan berdoa, dia berpusing mengadapku.
Dengan penuh kasih, kusalami dan kucium tangannya. Lama. Aku ingin
dia tahu betapa dalam kasih ini hanya untuknya. Dan aku dapat merasai
tangannya yang gagah itu mengusap kepalaku dengan lembut. Dengan
perlahan aku menatap wajahnya.

"Abang....." aku terdiam seketika. Terasa segan menyebut
kalimah itu dihadapannya. Tangan kami masih lagi saling berpautan.
Seakan tidak mahu dilepaskan. Erat terasa genggamannya.

"Ya sayang..." Ahhh....bicaranya biarpun satu kalimah, amat
menyentuh perasaanku.
"Abang... terima kasih atas kesudian abang memilih Ain sebagai
isteri biarpun banyak kelemahan Ain. Ain insan yang lemah, masih
perlu banyak tunjuk ajar dari abang. Ain harap abang sudi pandu Ain.
Sama-sama kita melangkah hidup baru, menuju keredhaan Allah." Tutur
bicaraku ku susun satu persatu.

`'Ain, sepatutnya abang yang harus berterima kasih kerana Ain
sudi terima abang dalam hidup Ain. Abang sayangkan Ain. Abang juga
makhluk yang lemah, banyak kekurangan. Abang harap Ain boleh terima
abang seadanya. Kita sama-sama lalui hidup baru demi redhaNya."

`'Insya Allah abang....Ain sayangkan abang. `'
`'Abang juga sayangkan Ain. Sayang sepenuh hati abang.''
Dengan telekung yang masih tersarung, aku tenggelam dalam pelukan
suamiku.

Hari-hari yang mendatang aku lalui dengan penuh kesyukuran.
Suamiku, ternyata seorang yang cukup penyayang dan penyabar. Sebagai
wanita aku tidak dapat lari daripada rajuk dan tangis. Setiap kali
aku merajuk apabila dia pulang lewat, dia dengan penuh mesra
memujukku. Membelaiku. Membuatku rasa bersalah. Tak wajar kusambut
kepulangannya dengan wajah yang mencuka dan dengan tangisan. Bukankah
aku ingin menjadi perhiasan yang menyejukkan hati suami? Sedangkan
Khadijah dulu juga selalu ditinggalkan Rasulullah untuk berkhalwat di
Gua Hira'. Lalu, kucium tangannya, kupohon ampun dan maaf.
Kuhadiahkan senyuman untuknya. Katanya senyumku bila aku lepas
menangis, cantik! Ahhh....dia pandai mengambil hatiku. Aku semakin
sayang padanya. Nampaknya hatiku masih belum sepenuhnya terikat
dengan Allah. Lantaran itulah aku masih belum mampu menyerahkan
seluruh kasih sayang, kesetiaan dan ketaatan hanya untuk suami.

`' Isteri yang paling baik ialah apabila kamu memandangnya, kamu
merasa senang, apabila kamu menyuruh, dia taat dan apabila kamu
berpergian, dia menjaga maruahnya dan hartamu . `'

Aku teringat akan potongan hadis itu. Aku ingin merebut
gelaran isteri solehah. Aku ingin segala yang menyenangkan buat
suamiku. Tuturku ku lapis dengan sebaik mungkin agar tidak tercalar
hatinya dengan perkataanku. Kuhiaskan wajahku hanya untuk tatapannya
semata. Makan minumnya kujaga dengan sempurna. Biarpun aku jua sibuk
lantaran aku juga berkerjaya. Pernah sekali, aku mengalirkan air mata
lantaran aku terlalu penat menguruskan rumah tangga apabila kembali
dari kerja. Segalanya perlu aku uruskan. Aku terasa seperti dia tidak
memahami kepenatanku sedangkan kami sama-sama memerah keringat
mencari rezeki. Namun, aku teringat akan kisah Siti Fatimah, puteri
Rasulullah yang menangis kerana terlalu penat menguruskan rumah
tangga. Aku teringat akan besarnya pahala seorang isteri yang
menyiapkan segala keperluan suaminya. Hatiku menjadi sejuk sendiri. '
Ya Allah, aku lakukan segala ini ikhlas keranaMu. Aku ingin mengejar
redha suamiku demi untuk mengejar redhaMu. Berilah aku kekuatan, Ya
Allah.'

`' Ain baik, cantik. Abang sayang Ain. `' Ungkapan itu tidak
lekang dari bibirnya. Membuatkan aku terasa benar-benar dihargai.
Tidak sia-sia pengorbananku selama ini. Betapa bahagianya menjadi
isteri yang solehah.

Kehidupan yang ku lalui benar-benar bermakna, apatah lagi
dengan kehadiran 2 orang putera dan seorang puteri. Kehadiran mereka
melengkapkan kebahagiaanku. Kami gembira dan bersyukur kepada Allah
atas nikmat yang dikurniakan kepada kami.

Namun, pada suatu hari, aku telah dikejutkan dengan
permintaannya yang tidak terduga.

"Ain.....abang ada sesuatu nak cakap dengan Ain."

"Apa dia abang?" tanyaku kembali. Aku menatap wajahnya dengan
penuh kasih.

`' Ain isteri yang baik. Abang cukup bahagia dengan Ain.
Abang bertuah punya Ain sebagai isteri," bicaranya terhenti setakat
itu.

Aku tersenyum. Namun benakku dihinggap persoalan. Takkan
hanya itu?

"Abang ada masalah ke?" Aku cuba meneka.

"Tidak Ain. Sebenarnya......," bicaranya terhenti lagi. Menambah
kehairanan dan mencambahkan kerisauan di hatiku. Entah apa yang ingin
diucapkannya.

"Ain......abang.....abang nak minta izin Ain......untuk berkahwin
lagi," ujarnya perlahan namun sudah cukup untuk membuat aku
tersentak. Seketika aku kehilangan kata.

"A.....Abang.....nak kahwin lagi?" aku seakan tidak percaya
mendengar permintaannya itu. Ku sangka dia telah cukup bahagia
dengannku. Aku sangka aku telah memberikan seluruh kegembiraan
padanya. Aku sangka hatinya telah dipenuhi dengan limpahan kasih
sayangku seorang Rupanya aku silap. Kasihku masih kurang. Hatinya
masih punya ruang untuk insan selain aku.

Tanpa bicara, dia mengangguk.

`' Dengan siapa abang ? `' Aku bertanya. Aku tidak tahu dari
mana datang kekuatan untuk tidak mengalirkan air mata. Tapi....hatiku...
hanya Allah yang tahu betapa azab dan pedih hati ini.

`' Faizah. Ain kenal dia, kan ? `'

Ya, aku kenal dengan insan yang bernama Faizah itu. Juniorku
di universiti. Rakan satu jemaah. Suamiku aktif dalam jemaah dan aku
tahu Faizah juga aktif berjemaah. Orangnya aku kenali baik budi
pekerti, sopan tingkah laku, indah tutur kata dan ayu paras rupa.
Tidakku sangka, dalam diam suamiku menaruh hati pada Faizah.

" A....Abang......Apa salah Ain abang?" nada suaraku mula bergetar.
Aku cuba menahan air mataku daripada gugur. Aku menatap wajah Abang
Harris sedalam-dalamnya. Aku cuba mencari masih adakah cintanya
untukku.

"Ain tak salah apa-apa sayang. Ain baik. Cukup baik. Abang
sayang pada Ain."

"Tapi....Faizah. Abang juga sayang pada Faizah....bermakna.....
sayang abang tidak sepenuh hati untuk Ain lagi."

"Ain.....sayang abang pada Ain tidak berubah. Ain cinta pertama
abang. Abang rasa ini jalan terbaik. Tugasan dalam jemaah memerlukan
abang banyak berurusan dengan Faizah....Abang tak mahu wujud fitnah
antara kami. Lagipun....abang lelaki Ain. Abang berhak untuk berkahwin
lebih dari satu. `'

Bicara itu kurasakan amat tajam, mencalar hatiku. Merobek
jiwa ragaku. Aku mengasihinya sepenuh hatiku. Ketaatanku padanya
tidak pernah luntur. Kasih sayangku padanya tidak pernah pudar. Aku
telah cuba memberikan layanan yang terbaik untuknya. Tapi inikah
hadiahnya untukku? Sesungguhnya aku tidak menolak hukum Tuhan. Aku
tahu dia berhak. Namun, alangkah pedihnya hatiku ini mendengar ucapan
itu terbit dari bibirnya. Bibir insan yang amat ku kasihi.

Malam itu, tidurku berendam air mata. Dalam kesayuan, aku
memandang wajah Abang Harris penuh kasih. Nyenyak sekali tidurnya.
Sesekali terdetik dalam hatiku, bagaimana dia mampu melelapkan mata
semudah itu setelah hatiku ini digurisnya dengan sembilu. Tidak
fahamkah dia derita hati ini? Tak cukupkah selama ini pengorbananku
untuknya? Alangkah peritnya menahan kepedihan ini. Alangkah pedihnya!

Selama seminggu, aku menjadi pendiam apabila bersama
dengannya. Bukan aku sengaja tetapi aku tidak mampu membohongi hatiku
sendiri. Tugasku sebagai seorang isteri aku laksanakan sebaik
mungkin, tapi aku merasakan segalanya tawar. Aku melaksanakannya
tidak sepenuh hati. Oh Tuhan.....ampuni daku. Aku sayang suamiku, tapi
aku terluka dengan permintaannya itu.

Apabila bertembung dua kehendak, kehendak mana yang harus
dituruti. Kehendak diri sendiri atau kehendak Dia ? Pastinya kehendak
Dia. Apa lagi yang aku ragukan? Pasti ada hikmah Allah yang
tersembunyi di sebalik ujian yang Dia turunkan buatku ini. Aku berasa
amat serba-salah berada dalam keadaan demikian. Aku rindukan suasana
yang dulu. Riang bergurau senda dengan suamiku. Kini, aku hanya
terhibur dengan keletah anak-anak. Senyumku untuk Abang Harris telah
tawar, tidak berperisa. Yang nyata, aku tidak mampu bertentang mata
dengannya lagi. Aku benar-benar terluka.

Namun, Abang Harris masih seperti dulu. Tidak jemu dia
memelukku setelah pulang dari kerja walau sambutan hambar. Tidak jemu
dia mencuri pandang merenung wajahku walau aku selalu melarikan
pandangan dari anak matanya. Tidak jemu ucapan kasihnya untukku. Aku
keliru. Benar-benar keliru. Adakah Abang Harris benar-benar tidak
berubah sayangnya padaku atau dia hanya sekadar ingin mengambil
hatiku untuk membolehkan dia berkahwin lagi?

`Oh Tuhan...berilah aku petunjukMu.' Dalam kegelapan malam, aku
bangkit sujud menyembahNya, mohon petunjuk dariNya. Aku mengkoreksi
kembali matlamat hidupku. Untuk apa segala pengorbananku selama ini
untuk suamiku ? Untuk mengejar cintanya atau untuk mengejar redha
Allah ? Ya Allah, seandainya ujian ini Engkau timpakan ke atasku
untuk menguji keimananku, aku rela Ya Allah. Aku rela.

Biarlah. Bukan cinta manusia yang kukejar. Aku hanya mengejar cinta
Allah. Cinta manusia hanya pemangkin. Bukankah aku telah berazam, aku
inginkan segala yang menyenangkan buat suamiku?

Dengan hati yang tercalar seguris luka, aku mengizinkan Abang Harris
berkahwin lagi. Dan, demi untuk mendidik hati ini, aku sendiri yang
menyampaikan hasrat Abang Harris itu kepada Faizah. Suamiku pada
mulanya agak terkejut apabila aku menawarkan diri untuk merisik
Faizah.

"Ain?......Ain serius?"

"Ya abang. Ain sendiri akan cakap pada Faizah. Ain lakukan ini semua
atas kerelaan hati Ain sendiri. Abang jangan risau...Ain jujur terhadap
abang. Ain tak akan khianati abang. Ain hanya mahu lihat abang
bahagia," ujarku dengan senyuman tawar. Aku masih perlu masa untuk
mengubat luka ini. Dan inilah satu caranya. Ibarat menyapu ubat luka.
Pedih, tetapi cepat sembuhnya.

Aku mengumpul kekuatan untuk menjemput Faizah datang ke rumahku.
Waktu itu, suamiku tiada di rumah dan dia telah memberi keizinan
untuk menerima kedatangan Faizah. Faizah dengan segala senang hati
menerima undanganku. Sememangnya aku bukanlah asing baginya. Malah
dia juga mesra dengan anak-anakku.

`'Izah......akak jemput Izah ke mari sebab ada hal yang akak nak
cakapkan, `' setelah aku merasakan cukup kuat, aku memulakan bicara.

`'Apa dia, Kak Ain. Cakaplah, `' lembut nada suaranya.

"Abang Harris ada pernah cakap apa-apa pada Faizah?"

"Maksud Kak Ain, Ustaz Harris?" Ada nada kehairanan pada suaranya.
Sememangnya kami memanggil rakan satu jemaah dengan panggilan Ustaz
dan Uztazah. Aku hanya mengangguk.

"Pernah dia cakap dia sukakan Izah?"

"Sukakan Izah? Isyyy....tak mungkinlah Kak Ain. Izah kenal Ustaz
Harris. Dia kan amat sayangkan akak. Takkanlah dia nak sukakan saya
pula. Kenapa Kak Ain tanya macam tu? Kak Ain ada dengar cerita dari
orang ke ni? `'

'Tidak Izah. Tiada siapa yang membawa cerita......." Aku terdiam
seketika. "Izah, kalau Kak Ain cakap dia sukakan Izah dan nak ambil
Izah jadi isterinya, Izah suka?" Dengan amat berat hati, aku tuturkan
kalimah itu.

"Kak Ain!" jelas riak kejutan terpapar di wajahnya. `'Apa yang Kak
Ain cakap ni ? Jangan bergurau hal sebegini Kak Ain, `' kata Faizah
seakan tidak percaya. Mungkin kerana aku sendiri yang menutur ayat
itu. Isteri kepada Muhammad Harris sendiri merisik calon isteri kedua
suaminya.

"Tidak Izah. Akak tak bergurau......Izah sudi jadi saudara Kak Ain?"
ujarku lagi. Air mataku seolah ingin mengalir tapi tetap aku tahan.
Faizah memandang tepat ke wajahku.

"Kak Ain. Soal ini bukan kecil Kak Ain. Kak Ain pastikah
yang......Ustaz
Harris.....mahu... melamar saya?"

Dari nada suaranya, aku tahu Faizah jelas tidak tahu apa-apa. Faizah
gadis yang baik. Aku yakin dia tidak pernah menduga suamiku akan
membuat permintaan seperti ini. Lantas, aku menceritakan kepada
Faizah akan hasrat suamiku. Demi untuk memudahkan urusan jemaah,
untuk mengelakkan fitnah. Faizah termenung mendengar penjelasanku.

"Kak Ain.....saya tidak tahu bagaimana Kak Ain boleh hadapi semuanya
ini dengan tabah. Saya kagum dengan semangat Kak Ain. Saya minta maaf
kak. Saya tak tahu ini akan berlaku. Saya tak pernah menyangka saya
menjadi punca hati Kak Ain terluka," ujarnya sebak. Matanya kulihat
berkaca-kaca.

"Izah...Kak Ain tahu kamu tak salah. Kak Ain juga tak salahkan Abang
Harris. Mungkin dia fikir ini jalan terbaik. Dan akak tahu, dia
berhak dan mampu untuk melaksanakannya. Mungkin ini ujian untuk
menguji keimanan Kak Ain."

"Kak...maafkan Izah." Dengan deraian air mata, Faizah meraihku ke dalam
pelukannya. Aku juga tidak mampu menahan sebak lagi. Air mataku
terhambur jua. Hati wanita. Biarpun bukan dia yang menerima kepedihan
ini, tetapi tersentuh jua hatinya dengan kelukaan yang ku alami.
Memang hanya wanita yang memahami hati wanita yang lain.

"Jadi...Izah setuju?" Soalku apabila tangisan kami telah reda.

`'Kak Ain....ini semua kejutan buat Izah. Izah tak tahu nak cakap.
Izah tak mahu lukakan hati Kak Ain."

"Soal Kak Ain....Izah jangan risau, hati Kak Ain...Insya Allah tahulah
akak mendidiknya. Yang penting akak mahu Abang Harris bahagia. Dan
akak sebenarnya gembira kerana Faizah pilihannya. Bukannya gadis lain
yang akak tak tahu hati budinya. Insya Allah Izah. Sepanjang Kak Ain
mengenali Abang Harris dan sepanjang akak hidup sebumbung dengannya,
dia seorang yang baik, seorang suami yang soleh, penyayang dan
penyabar. Selama ini akak gembira dengan dia. Dia seorang calon yang
baik buat Izah. `'

"Akak.....Izah terharu dengan kebaikan hati akak. Tapi bagi Izah masa
dan Izah perlu tanya ibu bapa Izah dulu."

"Seeloknya begitulah. Kalau Izah setuju, Kak Ain akan cuba cakap pada
ibu bapa Izah."

Pertemuan kami petang itu berakhir. Aku berasa puas kerana telah
menyampaikan hasrat suamiku. `Ya Allah.....inilah pengorbananku untuk
membahagiakan suamiku. Aku lakukan ini hanya semata-mata demi
redhaMu.'

Pada mulanya, keluarga Faizah agak keberatan untuk membenarkan Faizah
menjadi isteri kedua Abang Harris. Mereka khuatir Faizah akan terabai
dan bimbang jika dikata anak gadis mereka merampas suami orang.
Namun, aku yakinkan mereka akan kemampuan suamiku. Alhamdulillah,
keluarga Faizah juga adalah keluarga yang menitikberatkan ajaran
agama. Akhirnya, majlis pertunangan antara suamiku dan Faizah
diadakan jua.

"Ain.....abang minta maaf sayang," ujar suamiku pada suatu hari,
beberapa minggu sebelum tarikh pernikahannya dengan Faizah.

"Kenapa?"

"Abang rasa serba salah. Abang tahu abang telah lukakan hati Ain.
Tapi....Ain sedikit pun tidak marahkan abang. Ain terima segalanya demi
untuk abang. Abang terharu. Abang....malu dengan Ain."

"Abang....syurga seorang isteri itu terletak di bawah tapak kaki
suaminya. Redha abang pada Ain Insya Allah, menjanjikan redha Allah
pada Ain. Itu yang Ain cari abang. Ain sayangkan abang. Ain mahu
abang gembira. Ain anggap ini semua ujian Allah abang. `'

`'Ain....Insya Allah abang tak akan sia-siakan pengorbanan Ain ini.
Abang bangga sayang. Abang bangga punya isteri seperti Ain. Ain
adalah cinta abang selamanya. Abang cintakan Ain."

"Tapi...abang harus ingat. Tanggungjawab abang akan jadi semakin berat.
Abang ada dua amanah yang perlu dijaga. Ain harap abang dapat
laksanakan tanggungjawab abang sebaik mungkin."

"Insya Allah abang akan cuba berlaku seadilnya." Dengan lembut dia
mengucup dahiku. Masih hangat seperti dulu. Aku tahu kasihnya padaku
tidak pernah luntur. Aku terasa air jernih yang hangat mula membasahi
pipiku. Cukuplah aku tahu, dia masih sayangkan aku seperti dulu
walaupun masanya bersamaku nanti akan terbatas.

Pada hari pertama pernikahan mereka, aku menjadi lemah. Tidak
bermaya. Aku tiada daya untuk bergembira. Hari itu sememangnya amat
perit bagiku walau aku telah bersedia untuk menghadapinya. Malam
pertama mereka disahkan sebagai suami isteri adalah malam pertama aku
ditinggalkan sendirian menganyam sepi. Aku sungguh sedih. Maha hebat
gelora perasaan yang ku alami. Aku tidak mampu lena walau sepicing
pun. Hatiku melayang terkenangkan Abang Harris dan Faizah. Pasti
mereka berdua bahagia menjadi pengantin baru. Bahagia melayari
kehidupan bersama, sedangkan aku ? Berendam air mata mengubat rasa
kesepian ini. Alhamdulillah. Aku punya anak-anak. Merekalah teman
bermainku.

Seminggu selepas itu, barulah Abang Harris pulang ke rumah. Aku
memelukknya seakan tidak mahu ku lepaskan. Seminggu berjauhan, terasa
seperti setahun. Alangkah rindunya hati ini. Sekali lagi air mata ku
rembeskan tanpa dapat ditahan.

`' Kenapa sayang abang menangis ni? Tak suka abang balik ke?" ujarnya
lembut.

"Ain rindu abang. Rindu sangat. `' Tangisku makin menjadi-jadi. Aku
mengeratkan pelukanku. Dan dia juga membalas dengan penuh kehangatan.

`'Abang pun rindu Ain. Abang rindu senyuman Ain. Boleh Ain senyum
pada abang ? `' Lembut tangannya memegang daguku dan mengangkat
wajahku.

`'Abang ada teman baru. Mungkinkah abang masih rindu pada Ain ? `'
Aku menduga keikhlasan bicaranya.

'Teman baru tidak mungkin sama dengan yang lama. Kan abang dah
kata, sayang abang pada Ain masih seperti dulu. Tidak pernah berubah,
malah semakin sayang. Seminggu abang berjauhan dari Ain, tentulah
abang rindu. Rindu pada senyuman Ain, suara Ain, masakan Ain,
sentuhan Ain. Semuanya itu tiada di tempat lain, hanya pada Ain saja.
Senyumlah sayang, untuk abang. `'

Aku mengukir senyum penuh ikhlas. Aku yakin dengan kata-katanya. Aku
tahu sayangnya masih utuh buatku.

Kini, genap sebulan Faizah menjadi maduku. Aku melayannya seperti
adik sendiri. Hubungan kami yang dulunya baik bertambah mesra. Apa
tidaknya, kami berkongsi sesuatu yang amat dekat di hati. Dan,
Faizah, menyedari dirinya adalah orang baru dalam keluarga, sentiasa
berlapang dada menerima teguranku. Katanya, aku lebih mengenali Abang
Harris dan dia tidak perlu bersusah payah untuk cuba mengorek sendiri
apa yang disukai dan apa yang tidak disukai oleh Abang Harris. Aku,
sebagai kakak, juga sentiasa berpesan kepada Faizah supaya sentiasa
menghormati dan menjaga hati Abang Harris. Aku bersyukur, Faizah
tidak pernah mengongkong suamiku. Giliran kami dihormatinya.

Walaupun kini masa untuk aku bersama dengan suamiku terbatas, tetapi
aku dapat merasakan kebahagiaan yang semakin bertambah apabila kami
bersama. Benarlah, perpisahan sementara menjadikan kami semakin
rindu. Waktu bersama, kami manfaatkan sebaiknya. Alhamdulillah,
suamiku tidak pernah mengabaikan aku dan Faizah. Aku tidak merasa
kurang daripada kasih sayangnya malah aku merasakan sayangnya padaku
bertambah. Kepulangannya kini sentiasa bersama sekurang-kurangnya
sekuntum mawar merah. Dia menjadi semakin penyayang, semakin
romantik. Aku rasa aku harus berterima kasih pada Faizah kerana kata
suamiku, Faizahlah yang selalu mengingatkannya supaya jangan mensia-
siakan kasih sayangku padanya.

Memang aku tidak dapat menafikan, adakalanya aku digigit rindu
apabila dia pulang untuk bersama-sama dengan Faizah. Rindu itu, aku
ubati dengan zikrullah. Aku gunakan kesempatan ketiadaannya di rumah
dengan menghabiskan masa bersama Kekasih Yang Agung. Aku habiskan
masaku dengan mengalunkan ayat-ayatNya sebanyak mungkin. Sedikit demi
sedikit kesedihan yang ku alami mula pudar. Ia diganti dengan rasa
ketenangan. Aku tenang beribadat kepadaNya. Terasa diriku ini lebih
hampir dengan Maha Pencipta.

Soal anak-anak, aku tidak mempunyai masalah kerana sememangnya aku
mempunyai pembantu rumah setelah aku melahirkan anak kedua. Cuma,
sewaktu mula-mula dulu, mereka kerap juga bertanya kemana abah mereka
pergi, tak pulang ke rumah. Aku terangkan secara baik dengan mereka.
Mereka punyai ibu baru. Makcik Faizah. Abah perlu temankan Makcik
Faizah seperti abah temankan mama. Anak-anakku suka bila mengetahui
Faizah juga menjadi `ibu' mereka. Kata mereka, Makcik Izah baik.
Mereka suka ada dua ibu. Lebih dari orang lain. Ahhh...anak-anak kecil.
Apa yang kita terapkan itulah yang mereka terima. Aku tidak pernah
menunjukkan riak kesedihan bila mereka bertanya tentang Faizah.
Bagiku Faizah seperti adikku sendiri.

Kadang-kadang, bila memikirkan suamiku menyayangi seorang perempuan
lain selain aku, memang aku rasa cemburu, rasa terluka. Aku cemburu
mengingatkan belaian kasihnya itu dilimpahkan kepada orang lain. Aku
terluka kerana di hatinya ada orang lain yang menjadi penghuni.
Aisyah, isteri Rasulullah jua cemburukan Khadijah, insan yang telah
tiada. Inikan pula aku, manusia biasa. Tapi..... ku kikis segala
perasaan itu. Cemburu itukan fitrah wanita, tanda sayangkan suami.
Tetapi cemburu itu tidak harus dilayan. Kelak hati sendiri yang
merana. Bagiku, kasih dan redha suami padaku itu yang penting, bukan
kasihnya pada orang lain. Selagi aku tahu, kasihnya masih utuh
buatku, aku sudah cukup bahagia. Dan aku yakin, ketaatan, kesetiaan
dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepadanya itulah kunci
kasihnya kepadaku. Aku ingin nafasku terhenti dalam keadaan redhanya
padaku, supaya nanti Allah jua meredhai aku. Kerana sabda Rasulullah
s.a.w

"Mana-mana wanita (isteri) yang meninggal dunia dalam keadaan
suaminya meredhainya, maka ia akan masuk ke dalam syurga."
(Riwayat at-Tirmizi, al-Hakim dan Ibnu Majah).

Sungguh bukan mudah aku melalui semuanya itu. Saban hari aku
berperang dengan perasaan. Perasaan sayang, luka, marah, geram,
cemburu semuanya bercampur aduk. Jiwaku sentiasa berperang antara
kewarasan akal dan emosi. Pedih hatiku hanya Tuhan yang tahu.
KepadaNyalah aku pohon kekuatan untuk menempuhi segala kepedihan itu.
KepadaNyalah aku pinta kerahmatan dan kasih sayang, semoga keresahan
hati ini kan berkurangan.

Namun, jika aku punya pilihan, pastinya aku tidak mahu bermadu.
Kerana ia sesungguhnya memeritkan. Perlukan ketabahan dan kesabaran.
Walau bagaimanapun, aku amat bersyukur kerana suamiku tidak pernah
mengabaikan tanggungjawabnya. Dan aku juga bersyukur kerana menjadi
intan terpilih untuk menerima ujian ini.
Sekian...

0 comments:

Search This Blog


 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 COGITO ALLAH SUM..... |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.