Cermin Diri sendiri



Daripada Abu Hurairah r. a, bahawasanya Rasullullah SAW telah bersabda, maksudnya:

"Jika ada seseorang berkata: "Orang ramai sekarang ini sudah rosak", maka orang yang berkata itu sendiri yang paling rosak di antara mereka." H. R. Muslim

Penerangan Hadis: Iman Nawawi ketika menulis hadis ini dalam kitab Riyadhus Shalihin, beliau memberi penjelasan seperti berikut:

"Larangan semacam di atas itu (larangan berkata orang ramai sudah rosak) adalah untuk orang yang mengucapkan sedemikian dengan tujuan rasa bangga pada diri sendiri ('ujub) sebab dirinya tidak rosak, dan dengan tujuan merendahkan orang lain dan merasa dirinya lebih mulia daripada mereka. Maka yang demikian ini HARAM".

"Adapun orang yang berkata seperti itu kerana ia melihat kurangnya perhatian orang ramai terhadap agama mereka serta didorong oleh perasaan sedih melihat yang di alami oleh mereka dan timbul daripada perasaan cemburu terhadap agama, maka perkataan ini tiada salahnya".

Hadis ini boleh menjadi peringatan kepada kita semua semasa membincang dan menghuraikan masalah-masalah umat Islam sekarang ini. Maka apabila kita membincangkan masalah-masalah umat Islam dewasa ini maka janganlah kita merasa 'ujub dengan diri kita sendiri, bahkan hendaklah kita menegur diri kita masing-masing dan jangan suka menuduh orang lain.

Walaupun hal kerosakan moral umat Islam dewasa ini diketengahkan biarlah pendedahan itu dalam bentuk yang sihat, dengan perasaan yang penuh belas kasihan dan rasa cemburu terhadap agama, bukan dengan perasaan bangga diri dan memandang rendah kepada orang lain.

Tidak salah membincangkan kerosakan yang berlaku, namun jangan sampai menganggap diri kita 'perfect' dan orang lain tidak setanding dengan kita.

Mudah-mudahan ALLAH swt. dengan limpah kurnia Nya memberikan kepada kita rahmat, taufiq dan hidayah. AMIN

Riwayat: Muslim

Mencari Keikhlasan..




Rasulullah s.a.w bersabda :

Tiga pemusnah amalan iaitu kebakhilan yang ditaati, hawa nafsu yang diikuti dan merasa agung & hebat dengan diri

– (Riwayat Al-bazzar & At-Tabrani)-

Hadis ini ringkas tapi agak terkesan. 3 perbuatan itu antara yang amat disukai oleh mereka yang bergelar manusia..Memang sesiapa pun tidak dapat terhindar dari ingin melakukan perbuatan tersebut.

Bersifat bakhil, dengan erti kata lain kedekut. Sayangkan harta sehingga hendak membelanjakan dijalan Allah pun berkira. Mengikut hawa nafsu, memang anak-anak adam tidak dapat lari dari perasaan itu, ianya dapat diatasi dengan mujahadah..Berjihad melawan hawa nafsu..

Perbuatan yang paling ditakuti iaitu merasa agung dan hebat dengan diri..Mohon dijauhkan. Rasulullah ada besabda bahawa tidak akan masuk syurga orang yang ada dalam hatinya sekelumit perasaan riya’..Nauzubillah.. Perbuatan itu juga berkait rapat dengan riya’ dan ujub. Dengan erti kata lain, perasaan ingin nampak hebat dihadapan orang dan mengaggap diri sendiri hebat. Kadang-kadang keyakinan diri yang terlalu extreme boleh menjerumuskan kita kearah ujub.

Riya’ dan ujub termasuk dalam syirik kecil.. Kesannya sangat besar pada penerimaan amalan kita. Sama-samalah menjaga niat, ikhlaskan diri dalam beribadah..lakukan sesuatu semata-mata keranaNya.

Perasaan itu agak sukar dilenyapkan kerana syaitan sentiasa membisikkan kejahatan pada kita..Apabila terdetik perasaan itu, beristighfar banyak-banyak moga2 amalan yang kita lakukan itu kembali diterima. Semoga keikhlasan kita dalam beribadah padaNya diterima..Sebagai manusia biasa, memang tidak terlepas daripada perasaan itu. Sebaiknya, apabila terdetik perasaan itu, kembalilah padaNya, ingatlah dan renunglah siapa diri kita jika dibandingkan denganNya?? Hebat sangatkah kita?

“Ya Allah, sesungguhnya sangat sukar bagiku untuk melakarkan keikhlasan yang sebenar-sebenarnya, ku pohon Kau campakkan dalam hatiku niat yang ikhlas dalam aku beribadah padaMu..jauhilah aku dari mensyirikkanMu dengan sesuatu. Bantulah aku untuk terus ikhlas, moga aku tidak menjadi golongan yang rugi.”

Keikhlasan itu umpama semut hitam yang berjalan di atas batu hitam ditengah malam.. Sukar dilihat. Hanya Dia yang berhak menilainya.

Moga kita terus ikhlas dan istiqamah..

Peringatan ini untuk diriku terutamanya..Moga keikhlasanku terlakar..~~

Menghitung Hari Pernikahan..



Hari-hari berlalu yang dilewati seakan sudah bertahun lamanya, namun yang perlu diakui ialah ianya baru beberapa minggu lalu. Iya, hanya beberapa minggu lalu. Berita itu aku sambut dengan hati yang diusahakan untuk berlapang dada. Benar, aku berusaha berlapang dada. Terkadang, terasa nusrah Ilahi begitu hampir saat kita benar-benar berada di tepi tebing, tunggu saat untuk menjunam jatuh ke dalam gaung. Maha Suci Allah yang mengangkat aku, meletakkan aku kembali di jalan tarbiyyah dan terus memimpin untukku melangkah dengan tabah.

Aku hanya seorang Insyirah. Tiada kelebihan yang teristimewa, tidak juga punya apa-apa yang begitu menonjol. Jalan ku juga dua kaki, lihat ku juga menggunakan mata, sama seperti manusia lain yang menumpang di bumi Allah ini. Aku tidak buta, tidak juga tuli mahupun bisu. Aku bisa melihat dengan sepasang mata pinjaman Allah, aku bisa mendengar dengan sepasang telinga pinjaman Allah juga aku bisa bercakap dengan lidahku yang lembut tidak bertulang. Sama seperti manusia lain.

Aku bukan seperti bondanya Syeikh Qadir al-Jailani, aku juga tidak sehebat srikandi Sayyidah Khadijah dalam berbakti, aku bukan sebaik Sayyidah Fatimah yang setia menjadi pengiring ayahanda dalam setiap langkah perjuangan memartabatkan Islam. Aku hanya seorang Insyirah yang sedang mengembara di bumi Tuhan, jalanku kelak juga sama... Negeri Barzakh, insya Allah. Destinasi aku juga sama seperti kalian, Negeri Abadi. Tiada keraguan dalam perkara ini.

Sejak dari hari istimewa tersebut, ramai sahabiah yang memuji wajahku berseri dan mereka yakin benar aku sudah dikhitbah apabila melihat kedua tangan ku memakai cincin di jari manis. Aku hanya tersenyum, tidak mengiyakan dan tidak pula menidakkan. Diam ku bukan membuka pintu-pintu soalan yang maha banyak, tetapi diam ku kerana aku belum mampu memperkenalkan insan itu. Sehingga kini, aku tetap setia dalam penantian.

Ibu bertanyakan soalan yang sewajarnya aku jawab dengan penuh tatasusila.

"Hari menikah nanti nak pakai baju warna apa?"

Aku menjawab tenang.. "Warna putih, bersih..."

"Alhamdulillah, ibu akan usahakan dalam tempoh terdekat."

"Ibu, 4 meter sudah cukup untuk sepasang jubah. Jangan berlebihan."

Ibu angguk perlahan.

Beberapa hari ini, aku menyelak satu per satu... helaian demi helaian naskhah yang begitu menyentuh nubari aku sebagai hamba Allah. Malam Pertama... Sukar sekali aku ungkapkan perasaan yang bersarang, mahu saja aku menangis semahunya tetapi sudah aku ikrarkan, biarlah Allah juga yang menetapkan tarikhnya kerana aku akan sabar menanti hari bahagia tersebut. Mudah-mudahan aku terus melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Mudah-mudahan ya Allah.

Sejak hari pertunangan itu, aku semakin banyak mengulang al-Quran. Aku mahu sebelum tibanya hari yang aku nantikan itu, aku sudah khatam al-Quran, setidak-tidaknya nanti hatiku akan tenang dengan kalamullah yang sudah meresap ke dalam darah yang mengalir dalam tubuh. Mudah-mudahan aku tenang... As-Syifa' aku adalah al-Quran, yang setia menemani dalam resah aku menanti. Benar, aku sedang memujuk gelora hati. Mahu pecah jantung menanti detik pernikahan tersebut, begini rasanya orang-orang yang mendahului.

"Kak Insyirah, siapa tunang akak? Mesti hebat orangnya. Kacak tak?"

Aku tersenyum, mengulum sendiri setiap rasa yang singgah. Maaf, aku masih mahu merahsiakan tentang perkara itu. Cukup mereka membuat penilaian sendiri bahawa aku sudah bertunang, kebenarannya itu antara aku dan keluarga.

"Insya Allah, 'dia' tiada rupa tetapi sangat mendekatkan akak dengan Allah. Itu yang paling utama."

Berita itu juga buat beberapa orang menjauhkan diri dariku. Kata mereka, aku senyapkan sesuatu yang perlu diraikan. Aku tersenyum lagi.

"Jangan lupa jemput ana di hari menikahnya, jangan lupa!"

Aku hanya tersenyum entah sekian kalinya. Apa yang mampu aku zahirkan ialah senyuman dan terus tersenyum. Mereka mengandai aku sedang berbahagia apabila sudah dikhitbahkan dengan 'dia' yang mendekatkan aku dengan Allah. Sahabiah juga merasa kehilangan ku apabila setiap waktu terluang aku habiskan masa dengan as-Syifa' ku al-Quran, tidak lain kerana aku mahu kalamullah meresap dalam darahku, agar ketenangan akan menyelinap dalam setiap derap nafas ku menanti hari itu.

"Bila enti menikah?"

Aku tiada jawapan khusus.

"Insya Allah, tiba waktunya nanti enti akan tahu..." Aku masih menyimpan tarikh keramat itu, bukan aku sengaja tetapi memang benar aku sendiri tidak tahu bila tarikhnya.

"Jemput ana tau!" Khalilah tersenyum megah.

"Kalau enti tak datang pun ana tak berkecil hati, doakan ana banyak-banyak!" Itu saja pesanku. Aku juga tidak tahu di mana mahu melangsungkan pernikahan ku, aduh semuanya menjadi tanda tanya sendiri. Diam dan terus berdiam membuatkan ramai insan berkecil hati.

"Insya Allah, kalian PASTI akan tahu bila sampai waktunya nanti..."

Rahsia ku adalah rahsia Allah, kerana itu aku tidak mampu memberikan tarikhnya. Cuma, hanya termampu aku menyiapkan diri sebaiknya. Untung aku dilamar dan dikhitbah dahulu tanpa menikah secara terkejut seperti orang lain. Semuanya aku sedaya upaya siapkan, baju menikahnya, dan aku katakan sekali lagi kepada ibu...

"Usah berlebihan ya..."

Ibu angguk perlahan dan terus berlalu, hilang dari pandangan mata.

"Insyirah, jom makan!"

Aku tersenyum lagi... Akhir-akhir ini aku begitu pemurah dengan senyuman.

"Tafaddal, ana puasa."

Sahabiah juga semakin galak mengusik.

"Wah, Insyirah diet ya. Maklumlah hari bahagia dah dekat... Tarikhnya tak tetap lagi ke?"

"Bukan diet, mahu mengosongkan perut. Maaf, tarikhnya belum ditetapkan lagi."

Sehingga kini, aku tidak tahu bila tarikhnya yang pasti. Maafkan aku sahabat, bersabarlah menanti hari tersebut. Aku juga menanti dengan penuh debaran, moga aku bersedia untuk hari pernikahan tersebut dan terus mengecap bahagia sepanjang alam berumahtangga kelak. Doakan aku, itu sahaja.

.......................................

"innalillahi wainna ilaihi rajiun..."

"Tenangnya... Subhanallah. Allahuakbar."

"Ya Allah, tenangnya..."

"Moga Allah memberkatinya...."

Allah, itu suara sahabat-sahabat ku, teman-teman seperjuangan aku pada ibu.

Akhirnya, aku selamat dinikahkan setelah sabar dalam penantian. Sahabiah ramai yang datang di majlis walimah walaupun aku tidak menjemput sendiri.

Akhirnya, mereka ketahui sosok 'dia' yang mendekatkan aku kepada Allah.
Akhirnya, mereka kenali sosok 'dia' yang aku rahsiakan dari pengetahuan umum.
Akhirnya, mereka sama-sama mengambil 'ibrah dari sosok 'dia' yang mengkhitbah ku.

Dalam sedar tidak sedar...

Hampir setiap malam sebelum menjelang hari pernikahan ku... Sentiasa ada suara sayu yang menangis sendu di hening malam, dalam sujud, dalam rafa'nya pada Rabbi, dalam sembahnya pada Ilahi. Sayup-sayup hatinya merintih. Air matanya mengalir deras, hanya Tuhan yang tahu.

"Ya Allah, telah Engkau tunangkan aku tidak lain dengan 'dia' yang mendekatkan dengan Engkau. Yang menyedarkan aku untuk selalu berpuasa, yang menyedarkan aku tentang dunia sementara, yang menyedarkan aku tentang alam akhirat. Engkau satukan kami dalam majlis yang Engkau redhai, aku hamba Mu yang tak punya apa-apa selain Engkau sebagai sandaran harapan. Engkau maha mengetahui apa yang tidak aku ketahui..."

Akhirnya, Khalilah bertanya kepada ibu beberapa minggu kemudian...

"Insyirah bertunang dengan siapa, mak cik?"

Ibu tenang menjawab... "Dengan kematian wahai anakku. Kanser tulang yang mulanya hanya pada tulang belakang sudah merebak dengan cepat pada tangan, kaki juga otaknya. Kata doktor, Insyirah hanya punya beberapa minggu sahaja sebelum kansernya membunuh."

"Allahuakbar..." Terduduk Khalilah mendengar, air matanya tak mampu ditahan.

"Buku yang sering dibacanya itu, malam pertama..."

Ibu angguk, tersenyum lembut... "Ini nak, bukunya." Senaskah buku bertukar tangan, karangan Dr 'Aidh Abdullah al-Qarni tertera tajuk 'Malam Pertama di Alam Kubur'.

"Ya Allah, patut la Insyirah selalu menangis... Khalilah tak tahu mak cik."

"Dan sejak dari hari 'khitbah' tersebut, selalu Insyirah mahu berpuasa. Katanya mahu mengosongkan perut, mudah untuk dimandikan..."

Khalilah masih kaku. Tiada suara yang terlontar. Matanya basah menatap kalam dari diari Insyirah yang diberikan oleh ibu.

"Satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku di risik oleh MAUT. Dan satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku sudah bertunang dengan MAUT. Dan aku akan sabar menanti tarikhnya dengan mendekatkan diri ku kepada ALLAH. Aku tahu ibu akan tenang menghadapinya, kerana ibuku bernama Ummu Sulaim, baginya anak adalah pinjaman dari ALLAH yang perlu dipulangkan apabila ALLAH meminta. Dan ibu mengambil 'ibrah bukan dari namanya (Ummu Sulaim) malah akhlaqnya sekali. Ummu Sulaim, seteguh dan setabah hati seorang ibu."

* Kisah ini bukan kisah ana (Insyirah), ianya kisah KITA (semua yang sedang membaca/tak) *

Mulai hari ini, jangan bersoal tika melihat ana memakai cincin. Kerana, ana sudah bertunang! Bertunang dengan kematian, tidak tahu bila ana akan dinikahkan dan tidak tahu bagaimana rezeki di malam pertama. Tetapi, sekurang-kurangnya apabila sudah dirisik dan bertunang, kita sama-sama akan mempersiapkan diri sebaik-baiknya walaupun bukan yang terbaik untuk hari pernikahan dengan KEMATIAN. Wallahua'lam.

Insyirah Soleha,
19 Januari 2010
Baiti

Taken from : http://niqobgirl.blogspot.com/


***************************************

Cukuplah kematian itu mengingatkan kita... Cukuplah kita sedar kita akan berpisah dengan segala nikmat dunia. Cukuplah kita sedar bahawa ada hari yang lebih kekal, oleh itu sentiasalah berwaspada. Bimbang menikah tergesa-gesa, tahu-tahu sudah disanding dan diarak seluruh kampung walau hanya dengan sehelai kain putih tak berharga.

Hakikatnya, kita semua sedang mengejar ‘hari pernikahan’ itu. Kita tak akan terlepas dari merasai hari istimewa itu..bertunang dengan Maut, bernikah dengan kematian dan alam kubur tempat berbulan madu kita. Buatlah persiapan yang secukupnya untuk menghadapi ‘hari bahagia’ kita itu.. paling tidak, rinduilah ‘hari pernikahan kita itu walau masih tak pasti siapa calonnya , bila dan dimana kita akan berjumpa. Persiapkan diri untuk menghiasi malam pertama supaya kita bahagia pada malam itu dan tiada penyesalan atas pilihan yang ditetapkan olehNya..Semoga rumahtangga yang bakal dibina kelak mendatangkan kebahagiaan dan ketenangan dalam pengabdian cinta tidak lain tidak bukan hanya pada Dia..

Bilakah agaknya hari pernikahan kita nanti?bagaimana suasana di hari itu? berbahagiakah kita nanti?..Semuanya menjadi persoalan.. Yang pasti persiapan mesti dimulakan sekarang supaya hari istimewa itu memberi kebahagiaan yang abadi buat kita.

Sungguh MATI itu satu peringatan.!!


~ Kullu nafsin za'iqatul maut ~

Belajar dari Kesilapan..



Kadang-kadang kita perlu buat keputusan yang salah supaya kita belajar untuk mengubah kesalahan yang telah dibuat. Supaya timbul perasaan menyesal dalam diri yang mana membantu kita untuk akrab denganNya..Sesungguhnya manusia itu tak akan mampu berdiri tanpa petunjukNya..

Itulah manusia..lemah dan sentiasa melakukan kesilapan.

Begitulah Allah Tuhan yang maha Penyayang..KasihNya tak mengenal siapa kita. Sentiasa bersama hamba-hambaNya yang memerlukan..pintu taubatNya sentiasa terbuka buat hamba-hambaNya.

Kadang kadang kita rase keputusan yang diambil adalah betul, hakikatnya kita tak akan tahu keputusan yang kita ambil itu betul atau salah melainkan setelah kita menemui kegagalan..

Kadang kadang kita rase keputusan yang kita pilih adalah yang paling tepat untuk diri kita, tapi kita tak sedar sebenarnya pilihan itu mungkin baik pada pandangan kita tapi pada pandanganNya itu bukan yang terbaik untuk kita..Tak semua yang kita rasa terbaik untuk kita adalah yang terbaik pada pandanganNya..
Pandangan manusia boleh disangkal, tapi pandanganNya tiada siapa yang boleh menidakkan.

Whatever is, turn to Him..ask Him to show us the best way..~~

Walauapapun terjadi,betul atau tidak keputusan yang telah diambil, berjalanlah tanpa henti, kelak anda nanti tak mampu untuk berhenti lagi melainkan MATI, istirehat yang pasti menanti..!

Hadapilah kenyataan yang tak ada jalan keluar. Anda kelak akan menjumpai didunia ini perkara yang anda tidak mampu mengubahnya, tapi hanya mampu berinteraksi dengannya dengan berbekal kesabaran dan iman..

“Ya Allah, jangan Kau biarkan nasib kami ditentukan oleh diri kami sendiri..Bimbinglah kami dalam membuat apa-apa keputusan agar setiap tindakan kami mendatangkan keredhaanMu..”




** Belajar dari kesilapan….(^_^)


Rejab membuka Tirai..





Alhamdulillah..
Kita masih diberi kesempatan untuk menikmati hidup..
Semoga dengan masa dan peluang yang diberikanNya dapat kita manfaatkan dengan memperbanyakkan ibadah..mendekatkan diri padaNya..

Semoga hidup yang akan dilalui lebih baik dari hidup-hidup sebelumnya..

Bulan Rejab kini membuka tirainya..
Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menyifatkan Nabi s.a.w menegaskan Rejab adalah bulan Allah, iaitu bulan ahlullah..

Selamat Beramal di bulan Rejab..

“Ya Allah, berkatilah hidup kami di bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikan (hayat) kami kepada bulan Ramadan.”

Melawan Kebosanan..

Menulis sekadar menghilangkan bosan..

Bosan..lalaaaa~~

Cuti sem kali ni seperti cuti sebelum2nye juga..
Perasaan biasa yang dialami..

Bosan
Boring
Sunyi
Sepi
Tension!!



Apa nak buat ye??

- Tolong mak ayah da buat
- Mengadap laptop pun hari2..
- Tengok TV banyak cite tak best..
- On9 pun tiap kali free
- Nak membace tak de mood..
- Update blog pun tak da idea
- Ber’sms’ pun malas nak taip..


Ha, 1 point..tak de mood..!! no feel !! Semua tu symptom iman berkurang.Betul tak??
Itu yang buat malas nak buat ape2..
Even benda yang paling suke…

Apa yang boleh hilangkan rasa ni??
Ramai yang nasihat suruh:

- Baca Al-qur’an
- Jaga mutabaah
- Ziarah
- Berbakti pada ibubapa
- Baca buku
- Banyak lagi benda berfaedah..

Sebenarnya, I’ve my own plan during my holiday..
Setakat ni masih tak dapat penuhi semua plan tu..atas sebab-sebab tertentu.hehe
First thing first..!!

So, cuti kali ni tak dapat lari dari penyakit cuti..huhu
Sebolehnya tak nak cuti lama-lama..

Bila lah dapat buat apa yang ingin aku buat?
Benda yang boleh menghepikan diri..

Selalunya,
Benda yang suke dan minat nak buat selalu je tak dapat buat..

Kadang-kadang kuterfikirla juga..
Napa ye jadi begitu? Adakah ianya hukum alam?
Benda yang nak sangat selalunya jarang dapat..
Benda yang tak nak mudah je dapat..
Nape mesti dapat benda yang selalu bukan keinginan hati??
Erm…
Itulah kehidupan..
Sentiasa diwarnai dengan dugaan dan cabaran
Sebagai tarbiyah dariNya…
Tanda kasih sayangNya..
Allah sayangkanku rupenye, tapi aku selalu je cepat mengeluh dan tak sabar…
Macam mane aku nak sabar? Nak ikhlas dengan apa yang kudapat?
Cuba..dan terus mencuba…
…….sabar dan ikhlas…………….
Hai orang-orang yang beriman jadikanlah sabar dan shalat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar. (QS. 2:153)


Ku tahu ku tak seteguh karang dilautan..
Tetap teguh walau laut se sekali bergelora..
Ku juga tak setabah ombak dan pantai..
pantai tetap tabah walaupun badai ombak menghempas..

Tapi aku kena kuat…~~sekuat Tiger..huhu.

Syahid selepas mengucap kalimah Syahadah...

Suatu ketika tatkala Rasulullah S.A.W sedang bersiap di medan perang Uhud, tiba-tiba terjadi hal yang tidak terduga. Seorang lelaki yang bernama Amar bin Thabit telah datang menemui baginda. Dia rupanya ingin masuk Islam dan akan ikut perang bersama Rasulullah S.A.W.

Amar ini berasal dari Bani Asyahali. Sekalian kaumnya ketika itu sudah Islam setelah tokoh yang terkenal Saad bin Muaz memeluk Islam. Tetapi Amar ini enggan mengikut kaumnya yang ramai itu. Keangkuhan jahiliyyah menonjol dalam jiwanya, walaupun dia orang baik dalam pergaulan. Waktu kaumnya menyerunya kepada Islam, ia menjawab, "Kalau aku tahu kebenaran yang aku kemukakan itu sudah pasti aku tidak akan mengikutnya." Demikian angkuhnya Amar.

Kaum Muslimin di Madinah pun mengetahui bagaimana keanehan Amar di tengah-tengah kaumnya yang sudah memeluk Islam. Ia terasing sendirian, hatinya sudah tertutup untuk menerima cahaya Islam yang terang benderang. Kini dalam saat orang bersiap-siap akan maju ke medan perang, dia segera menemui Nabi S.A.W, menyatakan dirinya akan masuk Islam malah akan ikut berperang bersama angkatan perang di bawah pimpinan Nabi S.A.W. Pedangnya yang tajam ikut dibawanya.

Nabi S.A.W menyambut kedatangan Amar dengan sangat gembira., tambah pula rela akan maju bersama Nabi Muhammad S.A.W. Tetapi orang ramai tidak mengetahui peristiwa aneh ini, kerana masing-masing sibuk menyiapkan bekalan peperangan. Di kalangan kaumnya juga tidak ramai mengetahui keIslamannya.

Bagaimana Amar maju sebagai mujahid di medan peperangan. Dalam perang Uhud yang hebat itu Amar memperlihatkan keberaniannya yang luar biasa. Malah berkali-kali pedang musuh mengenai dirinya, tidak dipedulikannya. Bahkan dia terus maju sampai saatnya dia jatuh pengsan.

"Untuk apa ikut ke mari ya Amar !" Demikian tanya orang yang hairan melihatnya, sebab sangka mereka dia masih musyrik. Mereka kira Amar ini masih belum Islam . Dalam keadaan antara hidup dan mati itu Amar lalu berkata, "Aku sudah beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, lalu aku siapkan pedangku dan maju ke medan perang. Allah akan memberikan syahid padaku dalam waktu yang tidak lama lagi."

Amar meninggal. Rohnya mengadap ke hadrat Illahi sebagai pahlawan syahid. Waktu hal ini diketahui Rasul S.A.W, maka baginda pun bersabda,, "Amar itu nanti akan berada dalam syurga nantinya." Dan kaum Muslimin pun mengetahui akhir hayat Amar dengan penuh takjub, sebab di luar dugaan mereka.

Malah Abu Hurairah r.a sahabat yang banyak mengetahui hadith Nabi S.A.W berkata kaum Muslimin, "Cuba kamu kemukakan kepadaku seorang yang masuk syurga sedang dia tidak pernah bersyarat sekalipun juga terhadap Allah."

"Jika kamu tidak tahu orangnya." Kata Abu Hurairah r.a lagi, lalu ia pun menyambung, ujarnya, "Maka baiklah aku beritahukan, itulah dia Amar bin Thabit."

Demikianlah kisah seorang yang mendapat hidayah dariNya , masuk syurga demikian indahnya. Ia tidak pernah solat, puasa dan lain-lainnya seperti para sahabat yang lain, sebab dia belum memeluk Islam. Tiba-tiba melihat persiapan yang hebat itu, hatinya tergerak memeluk Islam sehingga ia menemui Nabi S.A.W . Ia menjadi Muslim, lalu maju ke medan perang, sebagai mujahid yang berani. Akhirnya tewas dia dengan mendapat syahadah iaitu pengakuan sebagai orang yang syahid. Mati membela agama Allah di medan perang. Maka syurgalah tempat bagi orang yang memiliki julukan syahid. Nabi S.A.W menjamin syurga bagi orang seperti Amar ini.

Senyumlah....

Di antara sifat-sifat yang boleh membukakan hati orang ramai kepada pendakwah dan menjadikannya dapat diterima dan dimesrai ialah sifat
manis muka dan manis tutur kata.

Muka adalah menjadi petunjuk pada seorang pendakwah, menjadi cermin yang melantunkan apa yang tersemat dalam lubuk hatinya. Kiranya beliau bermasam muka, keadaan itu menunjukkan beliau seorang yang sempit dada dan mudah keluh-kesah tetapi kiranya beliau seorang yang sentiasa bermuka manis, keadaan ini akan membayangkan kebaikan.


Wajah yang manis bukanlah bererti kecantikan dan keindahan paras rupa, kerana boleh jadi paras rupa cantik tapi tidak terdapat padanya kemanisan. Sebaliknya boleh jadi paras wajah yang hodoh tetapi ia penuh dengan kemesraan dan keriangan.


Seorang pendakwah mestilah membiasakan diri berwajah cerah sekalipun beliau terpaksa melatih dirinya berbuat demikian. Beliau juga mestilah membiasakan dirinya sentiasa tersenyum walaubagaimanapun keadaannya yang menderita dan menekan.


Kejayaan seorang pendakwah tersembunyi pada kemampuannya menyesuaikan diri dan menguasainya, bukan sebaliknya. Beliau juga mestilah mampu mengawal dirinya pada semua keadaan yang dilaluinya. Beliau mestilah bijak memilih perkataan supaya sesuai dengan tempatnya.


Saya kenal sesetengah para pendakwah yang keluar menghadapi orang ramai dengan senyum yang melimpah di muka mereka sedangkan di dalam hati mereka merendam dukacita dan permasalahan yang Allah sahajalah yang mengetahuinya.

Saya juga mengenal para duat lain yang tidak mampu menguasai diri mereka berdepan dengan masalah yang kecil, anda dapat melihat kesannya dengan jelas pada wajah mereka juga melalui tindak-tanduk mereka, pada waktu itu anda merasakan seolah-olah andalah yang telah melakukan kesalahan terhadap mereka.


Saya dengar seorang pendakwah yang sering memberikan ucapan di hadapan orang ramai di kampung-kampung di Mesir, beliau telah meninggalkan anaknya di Kaherah dalam keadaan sakit tenat. Sedang beliau berucap salah seorang dari keluarganya telah masuk ke dalam dewan syarahan dan menghampiri pentas dan menyerahkan secebis kertas, setelah beliau membacanya beliau lalu meneruskan ucapannya seperti biasa dan dengan para hadirin tidak dapat melihat sebarang kesan. Setelah beliau selesai dari ucapannya beliau terus menjawab berbagai soalan dengan jiwa yang lapang dan dada yang luas. Kemudian orang ramai terkejut apabila mereka mengetahui bahawa cebisan kertas yang diberikan kepadanya tadi membawa berita tentang kematian anaknya yang sakit tenat itu.



Sumber : [Konsep Penguasaan Dalam Kehidupan Dakwah dan Pendakwah - Utz. Fathi Yakan]



Berdasarkan riwayat Muslim dari Abu Dzar r.a. berkata, bersabda Rasulullah SAW:

"Jangan meremehkan kebaikan apapun bentuknya walau sekadar bermuka cerah ketika bertemu saudaramu."



bermanis muka itu tak menyakitkan tapi pengubat hati yang sakit.. Ia bukan sahaja perlu dipraktik oleh pendakwah semata-mata untuk keberhasilan dakwah, malah wajar dipraktikkan oleh semua individu. dengan erti kata bermanis muka..= senyum..tapi perlu berpada-pada mengikut syariat..ikhtilat perlu diutamakan.


"..senyumlah dikala gembira kerana itulah sebaik-baik utusan yang menggambarkan ketenangan dihati..senyumlah dikala duka kerana itulah yang menggambarkan kerelaan hati menempuh ujian Allah.."


Orang yang mempunyai senyuman yang manis adalah orang yang di timpa musibah lalu dia kata "Inna lillahi wainna illaihi rajiuun." Lalu sambil berkata,"Ya Rabbi Aku redha dengan ketentuanMu ini", sambil mengukir senyuman.

Senyuman itu sedekah..Senyum sokmo..!!(^_^)..huhuhu

Wasiat Imam Syafie kepada Muridnya

"Sebelum Imam Syafie pulang ke rahmatullah, beliau sempat berwasiat kepada pada para muridnya dan umat islam seluruhnya. Berikut ialah kandungan wasiat tersebut: “Barangsiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat maka hendaklah ia mengamalkan sepuluh perkara.”

PERTAMA: HAK KEPADA DIRI
Iaitu: Mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.

KEDUA: HAK KEPADA MALAIKAT MAUT
Iaitu: Mengqadhakan kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkan kemaafan dari orang yang kita zalimi, membuat persediaan untuk mati dan merasa cinta kepada Allah.

KETIGA: HAK KEPADA KUBUR.
Iaitu: Membuang tabiat suka menabur fitnah, membuang tabiat kencing merata-rata, memperbanyakkan solat Tahajjud dan membantu orang yang dizalimi.

KEEMPAT: HAK KEPADA MUNKAR DAN NAKIR
Iaitu: Tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat dan nasihat menasihati.

KELIMA: HAK KEPADA MIZAN (NERACA TIMBANGAN AMAL PADA HARI KIAMAT)
Iaitu: Menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menanggung kesusahan.

KEENAM: HAK KEPADA SIRAT (TITIAN YANG MERENTANGI NERAKA PADA HARI AKHIRAT)
Iaitu: Membuang tabiat suka mengumpat, bersikap warak, suka membantu orang beriman dan suka berjemaah.

KETUJUH: HAK KEPADA MALIK (PENJAGA NERAKA)
Iaitu: Menangis lantaran takut kepada Allah SWT, berbuat baik kepada ibu bapa bersedekah secara terang-terangan serta sembunyi dan memperelok akhlak.

KELAPAN: HAK KEPADA RIDHWAN (PENJAGA SYURGA)
Iaitu: Berasa redha dengan Qadha’ Allah, bersabar menerima bala, bersyukur ke atas nikmat Allah dan bertaubat dari melakukan maksiat.

KESEMBILAN: HAK KEPADA NABI MUHAMMAD SAW
Iaitu: Berselawat ke atas baginda, berpegang dengan syariat, bergantung kepada As-Sunnah (Hadith), menyayangi para sahabat dan bersaing dalam mencari keredhaan Allah.

KESEPULUH: HAK KEPADA ALLAH SWT
Iaitu: Mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia dari kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan.

Nasihat Luqman Al Hakim

"DUNIA ini ibarat lautan dalam. Oleh itu, kita hendaklah bijak untuk melayari atau melalui perjalanannya supaya tidak tenggelam. Kiasan itu diberikan oleh Luqman Al-Hakim ketika menasihati anaknya supaya bertakwa ketika melayari hidup ini.

Katanya: "Hai anakku! Sesungguhnya dunia ini umpama lautan yang dalam. Ramai manusia yang telah tenggelam dalamnya. "Oleh itu, jadikanlah ketakwaan kepada Allah itu sebagai kapalmu, keimanan itu sebagai muatannya dan tawakal itu pula sebagai layarnya. Mudah-mudahan, engkau akan terselamat. Aku tidak sanggup melihatmu melainkan dalam keadaan yang selamat."

Dalam riwayat lain, Luqman berkata: "Hai anakku! Sesungguhnya dunia ini umpama lautan yang terbentang luas. Ramai manusia yang karam dalamnya. "Oleh itu, sekiranya engkau mampu menjadikan kapalmu itu daripada keimanan terhadap Allah, persediaanmu itu melalui tawakal dan muatanmu itu pula adalah daripada ketakwaan.

"Dan sekiranya engkau terselamat, maka ia kerana rahmat Allah dan sekiranya engkau karam, maka ia adalah kerana dosa-dosamu." Begitu bernas nasihat Luqman kepada anaknya supaya menjadi seorang beriman dan bertakwa kepada Allah. Kata-katanya mengandungi makna tersurat untuk difikirkan oleh kita semua.

Dalam riwayat lain, Luqman berkata: "Hai anakku. Aku pernah memikul batu-bata, besi dan setiap benda yang berat, sedangkan aku tidak pernah memikul suatu pun yang lebih berat daripada jiran tetangga yang jahat. "Aku telah merasakan pelbagai kepahitan, sedangkan aku tidak pernah merasakan sesuatu yang lebih pahit daripada kefakiran.

"Hai anakku! Janganlah engkau menghantar seorang yang bodoh sebagai utusanmu. Sekiranya engkau tidak memperoleh orang bijaksana, maka engkau sendirilah yang menjadi utusan itu."
Apakah perbezaan antara majlis pengembumian jenazah dan perkahwinan?

Luqman dalam membuat perbandingan antara kedua-duanya, berpesan kepada anaknya: "Hai anakku! Hadirilah majlis pengebumian jenazah, tetapi janganlah engkau menghadiri majlis perkahwinan. "Hal itu kerana pengebumian jenazah itu, akan mengingatkanmu terhadap hari akhirat, manakala majlis perkahwinan itu pula, akan menjadikanmu sukakan dunia."

Luqman juga berpesan supaya kita bersederhana dan tidak bersikap berlebih-lebih dalam melakukan sesuatu perkara. Sebabnya, seperti katanya: "Hai anakku! Janganlah engkau bersikap terlalu manis, nescaya engkau akan ditelan dan janganlah pula engkau bersikap terlalu pahit, nescaya engkau akan diluahkan keluar."

Dalam memilih kawan, Luqman berpesan: "Hai anakku! Apabila engkau ingin mempersaudarakan seseorang, maka buatlah dia marah terlebih dulu. Sekiranya dia memaafkanmu sewaktu marahnya, maka ambillah dia sebagai saudaramu. Jika tidak, maka berhati-hatilah terhadapnya."

Berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Malik: Luqman telah berkata kepada anaknya: "Hai anakku! Bagaimanakah engkau boleh melambat-lambatkan manusia dengan apa yang mereka janjikan, sedangkan mereka bersegera pergi kepada apa yang tidak mereka janjikan?"

Bercakap mengenai pujian pula, katanya: "Hai anakku! Turunkanlah dirimu pada tingkatan yang sesiapa saja tidak berhajatkan pertolongan daripadamu, sedangkan engkau amat memerlukan daripadanya.

"Hai anakku! Jadilah engkau seorang yang tidak berhajatkan pujian manusia dan tidak juga celaan daripada mereka. "Nescaya, tenanglah diri daripada kejahatan manusia dan manusia pula akan tenang dari kejahatannya (pujian)."

Kata Luqman lagi: "Hai anakku! Halanglah sesuatu yang keluar dari mulutmu. Kerana sesungguhnya engkau tidak dapat mendiamkan orang yang selamat. Engkau hanya mesti mengatakan sesuatu yang mendatangkan manfaat kepadamu.

"Hai anakku! Janganlah engkau melewat-lewatkan taubat. Kerana sesungguhnya, kematian itu datang dengan sekelip mata.

"Hai anakku! Berduyun-duyun datang kepada ulama dengan kedua-dua belah lututmu (berjalan kaki) dan janganlah engkau bertengkar dengan mereka (ulama), nescaya mereka akan membencimu.

"Ambillah daripada dunia untuk keperluanmu dan berbelanjalah dengan pencarianmu yang terbaik untuk akhiratmu. "Janganlah engkau berbelanja sekali gus kerana engkau mempunyai tanggungan. Sebenarnya, di atas leher lelaki itu terletaknya segala bebanan."

Sumber:Berita Harian.

3 perkara..

Hadith dari Munabihat oleh Ibn Hajar.

Sekali peristiwa sedang Rasul s.a.w. duduk bersama
dengan para sahabatnya, Beliau bersabda, "3 perkara
dalam dunia ini yang sangat sangat aku hargai,
Wangian, Wanita dan Solat-penyejuk mataku".

Sahut Abu Bakar r.a, "Benar, dan daku menghargai 3
benda, Melihat wajahmu, Membelanjakan harta kekayaan
ku atas mu dan bahawasanya anak perempuanku menjadi
isterimu ya rasulullah".

Sahut Umar r.a, "Benar, dan 3 perkara yang paling aku
cintai ialah Menegak kebenaran, Mencegah kemungkaran
dan Memakai pakaian bertampal".

Sahut Osman r.a,"Benar, dan 3 perkara yang paling ku
cintai ialah Memberi makan orang yang lapar, Memberi
pakaian kepada orang yang telanjang dan Membaca
Al-Quran".

Sahut Ali r.a,"Benar, dan daku paling cintai 3 perkara
iaitu Melayani tetamu, Berpuasa pada hari panas terik
dan Memancung kepala para musuh dengan pedangku".

Pada ketika itu datang Jibrail a.s pun muncul seraya
berkata kepada Rasul s.a.w, Allah s.w.t telah
mengutuskan daku supaya memberitahukan pada
anda apa yang daku cintai sekiranya daku ini seorang
manusia, sahut Rasul s.a.w, khabarkanlah kepada
kami ya Jibrail a.s. Sekiranya daku ini seperti anda
daku cintakan 3 perkara- Memimpin orang yang sesat,
Mengasihi mereka yang solat dlm keadaan miskin
dan papa, membantu keluarga orang yang miskin.

Dan bagi Allah s.w.t, dia mencintai 3 perkara dari
hambanya-
Yang berjuang pada jalannya, Yang menangis
pada ketika bertaubat
dan
Yang teguh sabar pada masa
lapar dan dahaga.

Wallahua'lam...

Search This Blog


 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 COGITO ALLAH SUM..... |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.